GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri yang dipercayai mendera dan merogol pembantu rumah warga Indonesia mereka sejak Mei lalu akan didakwa mengikut Akta Pemerdagangan Manusia (ATIP).
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada hasil siasatan sekiranya polis mendapati terdapat unsur eksploitasi yang dilakukan terhadap mangsa oleh pasangan itu.
Menurut Ayub, polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat tambahan dan pengesahan beberapa perkara dengan mengambil keterangan mereka yang terlibat.
"Sekiranya pihak polis mempunyai bukti-bukti serta keterangan yang mencukupi, kita akan menyiasat kes ini mengikut ATIP.
"Pasangan suami isteri itu juga akan disiasat sama ada mendapat khidmat pembantu rumah mengikut saluran yang betul atau sebaliknya kerana semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.