My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Menari - ubat lupakan kesakitan




MELIHAT sahaja gerak tari wanita berumur hampir setengah abad yang sedang asyik mengatur langkah tarian balet, siapa pun tidak akan menyangka bahawa guru tarian itu menghidap penyakit sendi, osteoartritis.

Walaupun dibelenggu masalah osteoartritis dua tahun lalu yang berpunca daripada kemerosotan tisu rawan pada sendi, Phong Thing Kin, 48, langsung tidak menghiraukan kesakitan yang dialaminya kerana cintanya terhadap balet mengatasi segala-galanya.

Namun, segalanya berubah hari demi hari apabila lututnya semakin sakit tetapi kesakitan tersebut dibiarkan sehinggalah keadaan bertambah buruk.

“Keadaan itu menyukarkan saya untuk melakukan kerja rumah dan aktiviti kegemaran saya iaitu menari dan mengajar tarian balet.


THING KIN gembira apabila mampu mengajar lenggok tarian balet kepada pelajarnya tanpa berasa sakit.


“Tidak tahan menanggung kesakitan, saya pergi mendapatkan nasihat doktor dan kemudian doktor mengesahkan saya mengalami osteoartritis,” katanya yang mula mengalami kesakitan pada sendi lutut.

Ibu kepada dua anak merupakan seorang yang sangat aktif dan tidak betah duduk diam selagi badannya terdaya menyerap segala kesakitan.

Oleh kerana itu walaupun tidak dapat menari serancak dahulu, Thing Kin tetap mengajar tarian yang berasal dari istana era Renaissance Itali tersebut kepada kanak-kanak yang berminat mendalaminya.

“Saya pernah terlintas untuk berhenti daripada mengajar menari balet kerana kesakitan yang dialami, tetapi ia tidak berjaya kerana balet adalah minat, jiwa, cinta dan nyawa saya.


KINI Thing Kin tidak lagi merasa sakit sendi ketika mengajar balet selepas mendapatkan rawatan osteoartritis dengan menyuntik Hylan G-F 20 Jun lalu.


“Mengajar balet amat menyeronokkan lebih-lebih lagi dapat mencurahkan ilmu kepada kanak-kanak, tetapi saya agak kecewa apabila sukar membuat demonstrasi kepada pelajar kerana kesakitan yang saya alami,” ujarnya.

Tidak mahu tunduk dan mengalah dengan kesakitan yang dihadapinya, Thing Kin tekad untuk menjalani rawatan artroskopi dan kemudian menyuntik Hylan G-F 20 pada sendi Jun lalu untuk mengurangkan kesakitan.

Kini, keadaannya lebih baik dan bahagian sendi lutut tidak lagi sakit apabila menari, naik dan turun tangga selain boleh melakukan kerja-kerja rumah.

“Sekarang saya mampu mengajar kanak-kanak menari dan sangat berbaloi saya menjalani rawatan tersebut.

“Masih banyak ilmu yang mahu dicurahkan kepada generasi baru bagi menguasai tarian balet ini,” katanya yang telah mengajar ratusan pelajar sejak 20 tahun lalu.

Degenerasi sendi

Dalam pada itu, Pakar Bedah dan Perunding Ortopedik Pusat Perubatan Sunway, Dr. Chee Chia Shing berkata, setiap orang berpotensi mendapat osteoartritis atau OA.

Menurutnya, OA adalah penyakit berkaitan dengan degenerasi atau kemerosotan sendi yang boleh terjadi di mana-mana sendi di badan terutama pada sendi yang menampung beban seperti sendi pinggul, sendi lutut dan tulang belakang.

Keadaan kemerosotan itu akan menyebabkan pelapik sendi iaitu rawan menjadi kasar, haus dan lusuh tidak seperti rawan normal yang licin.


THING KIN mendapatkan nasihat daripada Dr. Chee Chia Shing mengenai penyakit osteoartritis yang dihidapinya.


Permukaan yang kasar menyebabkan sendi tersebut mengalami keradangan. OA adalah penyakit artritis yang biasa menyerang semua orang di seluruh dunia.

“Di dalam sendi lutut yang sihat terdapat sejenis cecair yang disebut cecair sinovial yang berfungsi melindungi sendi lutut dengan cara menyerap hentakan dan melicinkan permukaan yang bergerak.

“Apabila seseorang itu mendapat OA, fungsi cecair ini berkurangan dan tidak lagi melindungi sendi lutut secara berkesan. Ini merupakan salah satu sebab seseorang itu me ngalami kesakitan secara tidak langsung membataskan per gerakan,” ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Sunway, Selangor baru-baru ini.

OA berbeza dengan osteoporosis. OA adalah masalah sendi manakala osteoporosis pula merupakan penyakit tulang yang disebabkan oleh kehilangan jisim.

OA adalah masalah biasa dengan dijangkakan 30 peratus populasi yang berusia 65 tahun ke atas berisiko mendapat OA.

“Ia tidak boleh disembuhkan tetapi ia boleh dirawat dengan rawatan pelbagai pendekatan. Oleh kerana ia melibatkan masalah kemerosotan sendi, rawatan bergantung kepada perubahan aktiviti pesakit, rawatan menggunakan ubat-ubatan dan pembedahan mengikut tahap keseriusan sesuatu OA itu.


OSTEOARTRITIS banyak berlaku dalam kalangan warga emas kerana kemerosotan sendi.


“Dalam merawat menggunakan ubat-ubatan, banyak jenis ubat digunakan dan yang paling popular, glocosamine yang merupakan makanan tambahan untuk permukaan sendi dan mampu melambatkan degenerasi sendi,” jelasnya.

Namun begitu katanya, setiap terapi menggunakan ubat-ubatan mempunyai kesan sampingan.

“Jika ada pesakit yang mengalami kesakitan pada sendi dan keradangan, mereka perlu mendapatkan ubat tahan sakit, tetapi jika pesakit itu mempunyai masalah gastrik, doktor tidak akan mengesyorkan ubat tersebut kerana ia akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.

“Ada juga keadaan pesakit yang memerlukan penggantian rawan, tetapi ia tidak begitu popular di Malaysia kerana kosnya mahal. OA yang teruk pula memerlukan pembedahan penggantian sendi yang rosak dengan menggantikannya dengan sendi tiruan,” kata Chia Shing.


Dipetik dari: http://kosmo.com.my

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts