Kedai jadi sarang kaki ponteng puasa
TASEK GELUGOR – Jam baru menunjukkan pukul 11.30 tengah hari, tetapi sebuah kedai makan di Pokok Machang dekat sini penuh dengan pelanggan yang mahu menjamu selera.
Namun yang menghairankan rata-rata pengunjung di kedai tersebut adalah lelaki dewasa beragama Islam termasuk pelajar sekolah menengah.
Siasatan Kosmo!, mendapati geng kaki ponteng puasa kerap singgah di kedai berkenaan untuk mendapatkan makanan yang dibungkus dengan plastik hitam.
Selain itu, ada juga kalangan mereka yang dengan selamba memesan makanan dari luar tingkap kedai tanpa rasa malu.
Menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Din, 30, kedai berkenaan telah menjadi tumpuan kaki ponteng puasa di bulan Ramadan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Memang sudah lama kedai itu menjual makanan kepada kaki ponteng puasa, malah sejak zaman saya masih bersekolah lagi,” katanya.
Dakwanya, kebanyakan pelanggan yang membeli makanan di kedai tersebut turut menjadikan kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 100 meter dari situ sebagai tempat menjamu selera.