SELEPAS dua tahun bergelar suami isteri, pasangan popular Mawi dan Ekin telah menempuh pelbagai ujian termasuk kisah kononnya Mawi berkahwin lain dengan seorang peminatnya baru-baru ini.
Sebagai orang popular mereka tidak melatah mahupun menuding jari kepada sesiapa, reda dengan ujian yang diberikan Allah, mereka menganggap itu sebagai asam garam dunia perkahwinan.
Bertemu dengan mereka berdua pada majlis berbuka puasa di teratak indah mereka di Bangi, Selangor baru-baru ini menyimpulkan satu rasa iaitu mereka masih dan sedang berbahagia melayari bahtera perkahwinan.
Menurut Ekin atau nama sebenarnya Nora’Asikin Rahmat, berita Mawi berkahwin lain dianggap sebagai gosip biasa, malah, tidak sedikitpun menggoyahkan hubungannya dengan Mawi.
“Masa dapat tahu berita itu saya baru pulang dari Jakarta. Sebenarnya saya sudah tahu lama berita ada peminat nak panggil media kerana dia sudah bernikah dengan Mawi dan saya tunggu detik itu.
“Bila keluar di akhbar saya tidak terkejut, ayat pertama yang keluar daripada mulut saya kepada Mawi adalah sampai hati tak jemput saya sekali, nak juga saya tengok awak naik pelamin,” ujarnya.
Tambahnya lagi dek kesibukan kerja, Mawi tiada masa memikirkan perkara yang membuang masa, malah Ekin juga tidak sampai hati untuk memarahi suaminya kerana gosip perkahwinan itu.
“Saya tidak sampai hati nak marah dia. Kepala dia pun dah berserabut dengan kerja-kerja produksi dan lama-kelamaan kebenaran akan timbul jua. Apa yang saya tahu dia pergi dan balik kerja tiada masa untuk berkahwin lain,” ujar Ekin dalam tawa.
Tegasnya lagi kepada orang yang mengaku bermadu dengan suuaminya itu, tunjukkan bukti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Saya percayakan suami saya kerana sebelum ini pun sudah berbakul-bakul orang cakap yang bukan-bukan tentang dia. Kalau benar dia sudah berkahwin lain, sila tampil dan tunjuk bukti,” katanya.
Mawi pula saat diajukan soalan yang sama hanya berkata dia sudah lali dengan gosip yang tidak henti melandanya. Tidak kisah apa sahaja yang dikatakan orang tentang dirinya, apa yang penting isteri dan keluarganya tahu kebenarannya.
“Saya tidak kisahlah, biarlah orang nak kata apa asalkan isteri dan keluarga saya tahu siapa saya. Gosip-gosip itu biasalah itu sudah adat. Sudah banyak kali saya dengar cerita saya bernikah lain.
“Apa yang kelakar kebanyakan cerita saya bernikah lain, saya pula orang yang terakhir tahu tentang perkara itu,” ucapnya sambil tertawa.
|
|
Arahan pertama Mawi
Ramai yang terkejut apabila mendengar Mawi ingin mengarah telefilem sedangkan dia tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang itu. Namun, kata Mawi tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa sebarang risiko.
Pertama kali mengarah telemovie yang bakal ditayangkan sempena raya nanti yang berjudul Pak Nil “Ibu Kirim Salam”, Mawi tanpa berselindung memberitahu produksi pertama arahannya itu penuh dengan cabaran.
Menampilkan ramai pelakon cameo, telefilem yang mengisahkan seorang remaja bernama Ramlan lakonan Along Cham seorang remaja yang menghidap sindrom Asperger terlalu meminati pengacara Aznil Nawawi atau Pak Nil.
Ramlan yang kematian ibu dijaga oleh ibu tirinya lakonan Didie Alias. Sebelum ibunya meninggal dunia, arwah pernah berkata sekiranya Ramlan berjumpa Pak Nil suatu hari nanti jangan lupa menyampaikan salam ibunya pada Pak Nil. Berbekalkan RM400 hasil wang simpanannya, Ramlan bertekad untuk berjumpa artis idolanya itu.
Menurut Mawi, idea menghasilkan telefilem itu datangnya daripada pengalamannya sendiri apabila dia sebelum ini pernah dicari oleh seorang peminat yang menghidapi autisme dari Klang, Selangor hingga ke kampungnya di Kulai, Johor.
“Saya buat skrip yang mengambil masa tiga bulan dan saya kembangkan lagi ceritanya serta tambah banyak unsur agama dan kesedaran. Dugaan yang dihadapi ialah skrip untuk beberapa babak telefilem itu hilang ketika komputer saya rosak dan enam babak yang telah menjalani penggambaran hilang, juga masa komputer rosak.
“Pening juga fikir macam mana nak sambung sebab kalau nak ulang balik penggambaran masa pelakon tidak sama kerana semua sibuk. Selama ini saya duduk depan kamera sahaja, bila kita duduk sendiri di tempat pengarah baru saya tahu perasaan dan tanggungjawab besar yang harus dipikul. Tetapi alhamdulillah, akhirnya saya dapat siapkan juga telefilem itu dengan dibantu oleh Jamal Khan selaku pengarah bersama,” katanya.
Tutur Mawi, telefilem Pak Nil “Ibu Kirim Salam” yang akan ditayangkan pada hari raya keenam pukul 12 tengah hari di saluran Astro Prima itu turut memuatkan lagu baru nyanyiannya yang berjudul Yang Maha, ciptaan Supi dan lirik olehnya sendiri.
Mawi 29 tahun
Selain itu, MW Entertainment yang dimiliki oleh Mawi telah menerbitkan sebuah drama bersiri yang berjudul Seruan Pulau Nami yang menjalani penggambaran di Korea Selatan.
Drama bersiri 13 episod yang bakal menemui penonton sekitar awal tahun depan itu dibintangi oleh Elly Mazlein juga memuatkan sebuah lagu baru yang cukup berbeza daripada Mawi berjudul Menanti Hikmah ciptaan Hudsone, seorang pelajar Malaysia di Korea dan liriknya digubah oleh Mawi dan rakannya Talib.
“Saya sekadar mencuba pada mulanya, memang saya akui lagunya lain daripada genre lagu yang biasa saya bawa. Bila dengar macam lagu Ajai pun ada. Kalau dapat sambutan tidak mustahil untuk saya teruskan kerjaya nyanyian dengan lagu-lagu macam itu,” katanya.
Pada majlis yang sama, selain diadakan majlis berbuka puasa, doa selamat, tahlil dan pelancaran telefilem tersebut kebetulan hari itu jatuh pada 25 Ogos yang merupakan hari lahir ke-29 Mawi, justeru Mawi turut diraikan dengan sebuah majlis ringkas.
Jelas Mawi, pada usia 29 tahun, perjalanannya sebagai seorang insan seni masih jauh. Dia ingin mencari ilmu kehidupan dan akhirat selagi nyawa di kandung badan.
“Banyak lagi benda yang ingin saya cuba kerana sebagai manusia kita tidak pernah puas. Sekarang saya sudah semakin sibuk tetapi fikiran semakin tenang. Kehidupan juga semakin teratur,” luahnya.
Sumber dipetik dari: http://kosmo.com.my