My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Kisah benar perisik dalam James Bond


SALAH satu adegan dalam filem Goldfinger menunjukkan James Bond yang dilakonkan oleh Sean Connery memakai pakaian renang.


LONDON - Salah satu adegan dalam filem James Bond berjudul Goldfinger dihasilkan menerusi kisah benar seorang perisik Agensi Perisikan Britain, MI6, lapor sebuah akhbar semalam.

Adegan itu menunjukkan James Bond yang dilakonkan oleh Sean Connery keluar dari laut dengan memakai pakaian renang sebelum dia menanggalkannya.

Dalam adegan itu, dia turut memakai sut makan malam semasa menanggalkan pakaian renangnya itu.

Adegan itu sebenarnya benar-benar berlaku ke atas seorang ejen perisik MI6, Pieter Tazelaar.

Filem Goldfinger mengisahkan tentang ejen perisik James Bond menjejaki penyeludup emas, Auric Goldfinger yang merancang untuk meletupkan bom nuklear di dalam pusat penyimpanan emas Fort Knox.

Aksi dalam filem Goldfinger pada tahun 1964 itu merupakan pengalaman sebenar ejen Pieter Tazelaar yang diceritakan oleh pakar sejarah Universiti Queen's, Belfast, Profesor Keith Jeffery dalam bukunya yang berjudul M16 The History of the Secret Intelligence Service 1909-1949.

Dalam buku itu, Tezelaar dibawa masuk melalui laut pada tahun 1940 untuk berhubung dengan ejen-ejen di Belanda.

Ketika itu, MI6 diberi amaran bahawa perisik Nazi mungkin cuba untuk membunuh Perdana Menteri Britain, Neville Chamberlain dengan memasukkan racun ke dalam susunya.

Dokumen Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS) pada Ogos 1939 itu menunjukkan pejabat Perdana Menteri Britain di London menerima bungkusan daripada seorang penghantar susu sekali gus menyebabkan pihak keselamatan bimbang mengenai peperangan bakteria.

Buku itu menyatakan Tezelaar yang memakai pakaian renang tiba pada pukul 4.35 pagi pada 23 November di Scheveningen, Belanda berhampiran sebuah kasino.

Dia kemudian menanggalkan pakaian renang dan berjalan dengan pakaian sut malam.

Tezelaar memakai sut getah yang direka khas bagi memastikan badannya kering semasa tiba di pantai dekat kasino itu.

Ketika di pantai, rakan sekerjanya, Erik Hazelhof merenjiskan sedikit alkohol Hennessy XO ke arah tubuh Tezelaar supaya baunya sinonim dengan suasana berparti.

Buku itu turut menceritakan mengenai 'Cawangan Q' yang menghasilkan pelbagai jenis gajet dalam SIS.

Dalam kehidupan sebenar, para juruteknik cawangan itu mencipta peralatan seperti kabinet fail yang boleh meletup untuk memusnahkan dokumen yang mungkin akan dirampas oleh musuh.

Cawangan itu menghasilkan rokok yang mengandungi dadah untuk mengalih perhatian musuh. - Agensi


Dipetik dari: http://kosmo.com.my

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts