MEMULAKAN persembahan secara live pada 12 Mei lalu, program realiti pencarian bakat tarian jalanan terbitan 8TV, Showdown 2010 sudah bersedia untuk memberi pengiktirafan kepada genre tarian yang kurang mendapat publisiti itu.
Sungguhpun kurang popular, juri tetap program itu, Joe Flizzow memberitahu bahawa kesemua 12 kumpulan yang dipilih mempunyai potensi tersendiri. "Tidak dinafikan ramai di antara mereka lebih menjurus kepada tarian break dance.
"Tapi setiap kumpulan mempunyai stail dan nilai hiburan tersendiri. Saya yakin para peserta ini mampu memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk menyertai serta meminati tarian jalanan."
Menjalankan uji bakat di lima lokasi termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur, enam daripada 12 kumpulan yang layak dikatakan berada pada tahap profesional.
Namun, peserta yang selebihnya itu juga mampu memberikan kejutan jika diberi bimbingan sewajarnya. "Bukan senang bagi penari profesional untuk memberi komitmen selama tiga bulan.
"Mereka perlu melepaskan sumber pencarian mereka hanya untuk memperjuangkan kredibiliti tarian jalanan. Bagi peserta yang baru, mereka mungkin akan menjadi penari profesional selepas program ini," ujar Joe.
Peserta yang berjaya adalah kumpulan Backyard Revolution, Blacky Wacky, Borneo Soul Breakers, Famous Crew, Feasible Crew, Floor Fever, Funky UX Crew, Giler Battle, HMC Phlow, Return Crew, Soul Krazy dan Wakaka.
"Pada saya tarian jalanan semakin mendapat tempat terutama dengan perkembangan muzik hip hop. Mungkin 300 tahun lalu didominasi oleh tarian ballet tetapi senario telah berubah sekarang. Saya yakin tarian ini mempunyai masa depan yang cerah," tambah Joe yang mengadili program itu bersama Maple Loo.
Menafikan Showdown 2010 menjadi pengganti kepada program So You Think You Can Dance, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berpuas hati dengan kualiti pesertanya.
|
|
"Semasa kami menjalan uji bakat So You Think You Can Dance, ramai yang datang dengan bakat tarian jalanan. Dari situ kami mendapat idea untuk program ini."
Tidak menetapkan tema atau konsep pada pertandingan setiap minggu, semua peserta diberi kebebasan untuk mereka cipta tarian masing-masing.
"Mungkin kami akan memberikan muzik pada minggu-minggu tertentu tetapi para peserta diberi kebebasan untuk melahirkan tarian masing-masing. Ia satu pertandingan konsep terbuka.
"Penilaian dibuat berdasarkan undian SMS penonton. Empat kumpulan yang menerima undian terendah akan diberi peluang kedua untuk bersaing semula.
"Maka, daripada empat kumpulan itu, pihak juri akan menentukan siapa yang bakal disingkirkan," jelas Swee Kim.
Dihoskan oleh Hafiz Hatim, Showdown 2010 akan disiarkan pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di 8TV. Bagi mendapatkan informasi mengenai kesemua pasukan yang terlibat, anda boleh menonton Diari Showdown 2010 pada setiap Selasa, pukul 11.30 malam.
Dipetik dari: http://kosmo.com.my
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kepada peminat Showdown aper lg... jgn ketinggalan menonton Showdown 2010 pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam di 8TV and Diari Showdown 2010 pada setiap Selasa, pukul 11.30 malam.