MASA-MASA bersama semakin hari semakin memakan waktu yang panjang. Sama-sama berpimpin tangan di atas pentas, manakala di luar pentas mereka banyak mengusik dan berbicara serius perihal dunia seni.
Tidak mungkin di sebalik hati kecil masing-masing tiada yang terusik.
"Saya lelaki normal. Tanyalah semua lelaki normal, pasti semua suka melihat seorang perempuan seperti Syahrini," ketawanya menunduk muka.
"Tentang hal jodoh itu saya pasrah kepada Allah. Kalau hati ini akan dibuka, itu juga kerana Allah. Semuanya telah ditulis di Luh Mahfuz.
"Kalaulah saya berjodohan dengan Syahrini, Alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin ada yang lebih baik untuk kami," sambung Anang penuh falsafah.
Pernyataan Anang dibalas lirikan mata si Syahrini sambil terus mencelah manja: "Nah, Anang itu seorang yang bijakkan?."
Lalu ditanyakan apa istimewa Anang di mata Syahrini. Dia menjawab dengan muka sedikit mengejek Anang yang tertunduk menanti jawapan. "Anang itu bijak, bersahaja, taat kepada agama dan serba-serbi berkebolehan."
"Syahrini pula orangnya cantik, suaranya bagus dan baik," puji Anang membalas.
Melihat liuk dan lenggok yang terzahir oleh siswazah perundangan itu, ternyata dia wanita yang bijak menyusun kata. Sekali lagi Syahrini memuji Anang.
"Anang itu pintar, pandai bersilat lidah," ujarnya penuh seloroh.
Mungkin keserasian begitu harus dipupuk bukan sahaja di atas pentas malah harus berlanjutan sehingga ke perkongsian banyak fahaman.
Fahaman muzik Syahrini yang asalnya sebagai hobi atau sekadar memenuhi ruang keinginan bergelar penyanyi kini berdepan permaidani tenunan di tangan Anang.
Sebelum tibanya jalan penyudah angin cinta mereka, dua penyanyi itu tidak mudah menutup mulut orang, apatah lagi menjawab dan menangkis gosip media.
Menutup bicara dua hati itu, kami akhirinya dengan satu letusan daripada bibir Anang: "Jadi penyanyi tidak boleh capek (penat). Kerja sebagai penyanyi memang capek tapi wangnya enak.
"Siapa sahaja orang besar pasti capek tapi kalau tidak mahu capek duduk sahaja di rumah."