MUNGKIN bagi sesetengah wanita yang telah mengalami tragedi perceraian dalam kamus hidup, mereka menganggap tidak dapat meneruskan kehidupan dengan baik tanpa seorang insan bergelar suami.
Bagi wanita-wanita itu, mereka mungkin akan mencari pengganti seorang lelaki sebagai teman dalam hidup mereka atau lebih sopan dipanggil suami sejurus selepas bercerai.
Kehidupan selepas bercerai bukanlah impian bagi setiap wanita kerana mereka akan dinobatkan satu dengan 'title' iaitu janda.
Tetapi perkara itu tidak menghantui penyanyi cantik, Fauziah Latiff. Dia ternyata menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sejak beberapa tahun lalu dengan tenang bersama dua anaknya yang kini berusia 10 dan 12 tahun.
Katanya yang kini menginjak usia 40 tahun, baginya soal jodoh itu adalah kerja Tuhan dan dia malas untuk memikirkannya.
"Kalau saya terlalu fikirkan hal itu, ia akan membuatkan saya sakit hati. Saya nak fikir yang mudah-mudah sahaja buat masa ini.
"Soal jodoh ini kalau ada-adalah," luahnya ketika ditemui di Perbadanan Filem Nasional (Finas) baru baru ini.
|
|
Tambah Fauziah yang lebih mesra dipanggil Jee, malas untuk fikirkan soal jodoh bukan bererti dia sudah tidak mahu untuk berkahwin lagi tetapi dia lebih bersikap terbuka.
"Untuk memperbaiki kualiti kehidupan selepas perceraian, saya banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama teman-teman dan melakukan scuba diving.
"Bagi saya hidup ini tidak panjang. Selagi ada masa kita buat apa yang kita nak buat," katanya.
Jee cipta lagu
Musim yang pertama Gelora Di Hati Sara adalah sejarah kepada seorang penyanyi yang diminati ramai ini kerana akhirnya dia 'terpedaya' untuk terbabit dalam bidang lakonan mengikut penerbit dan juga pelakon, Rosyam Nor.
Memanjangkan drama bersiri ini, Fauziah atau mesra dipanggil Jee, tidak sekadar berlakon, sebaliknya dia telah mencipta lagu, sekali gus menjadi lagu tema untuk drama bersiri 26 episod yang kini memasuki musim kedua.
Menurut Jee, walaupun dia pernah melalui pengalaman masalah rumah tangga tetapi lirik lagu yang berjudul Ku Di Sini itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan dirinya.
"Memang saya pernah alami sendiri pengalaman pahit berkenaan rumah tangga tetapi lagu yang dicipta memang untuk disumbangkan kepada drama ini. Ia tidak berkaitan dengan masa lampau saya," katanya.
Tambahnya, banyak pengalaman baru yang dia belajar selepas masuk dalam bidang lakonan.
Katanya: "Saya berharap bidang lakonan yang diceburi ini dapat memberi sinar dalam kehidupan selepas ini."
Malah Rosyam Nor selaku orang yang bertanggung jawab membawa Jee masuk dalam bidang lakonan, mengakui pada awal penggambaran, Jee sedikit kekok. Tetapi Rosyam tetap yakin dengan kredibilitinya sebagai pelakon.
"Pada awal penggambaran GDHS 2 ini, secara jujurnya saya mengakui Jee mempunyai masalah mungkin kerana sudah setahun dia tidak berlakon.
"Kami memberikan adegan yang kurang berat pada awalnya supaya Jee dapat mengikut rentak lakonannya diikuti dengan adegan yang lebih mencabar," katanya.
Gelora
Jika episod siri pertama berakhir dengan kebahagiaan menjadi milik Asrul bersama Sara meski pun Sara dibayangi serba salah dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh madunya, Tengku Marina, drama ini berkembang dengan konflik yang lebih merumitkan lagi apabila watak Sara berkeras mahu meneruskan penceraiannya dengan Asrul.
Menurut Rosyam, musim kedua ini adalah kesinambungan dari musim pertama yang pernah mencetuskan fenomena di kalangan peminat drama bersiri kekeluargaan.
"Pada musim yang kedua, watak dalam setiap plot drama ini akan dikembangkan,"katanya.
Pada musim kedua Sara sanggup berkorban semata-mata mahu melihat kebahagiaan menjadi milik Tengku Marina yang dipercayai ikhlas mencintai Asrul meskipun Iskandar ingin kembali kepadanya.
Kebaikan Sara membuatkan Marina setuju untuk diceraikan. Datin Maria sangat sedih dengan keputusan Tengku Marina kerana dia adalah menantu pilihannya.
Seboleh-bolehnya Datin Maria mahu mengekalkan perkahwinan itu. Datin Maria berada dalam keadaan dilema kerana menantu-menantunya mahu berkorban di antara satu sama lain.
Bagaimanapun Asrul tetap memilih Sara dan mahu menceraikan Tengku Marina seperti kehendak Tengku Malik. Tengku Malik memutuskan hubungan persahabatan dengan Datuk Taufik dan menganggap Asrul mengkhianati Tengku Marina. Dia juga menarik semua saham dalam syarikat Datuk Taufik dan membatalkan semua perjanjian perniagaannya.
Sara meneruskan proses perceraian Diana dengan Zaidi. Zaidi yang dikenakan tuduhan pecah amanah dan menipu syarikat bapa mertuanya dibebaskan dengan jaminan RM500, 000 serta dilarang meninggalkan Malaysia sementara menunggu tarikh perbicaraan. Zaidi enggan menceraikan Diana.
Dia merayu kepada Diana untuk menerimanya semula dan kononnya insaf perbuatannya. Zaidi mencari jalan supaya Datuk Taufik bersimpati kepadanya dan menggugurkan dakwaan.
Namun masihkan ada peluang untuk Sara terus menyayangi anak itu setelah Tengku Marina mahu merebut haknya dan memisahkan keduanya semata-mata dia cemburukan perhatian diberikan Asrul kepada Sara dan anak itu? Dan masihkan ada rasa keinsafan di hati wanita bernama Tengku Marina itu?
Anda boleh menyaksikan kesudahan drama bersiri penuh konflik kekeluargaan ini dengan meluangkan masa menonton Gelora Di Hati Sara 2, setiap Rabu, pukul 9.30 malam di TV2.
Drama arahan Mohd Nasir Juhan (Jet Lee) itu juga masih mengekalkan gandingan pelakon handalan seperti Watie Sadali, Dato' Rahim Razali, Aida Radzwil dan Norman Hakim.
Sumber dipetik dari : http://kosmo.com.my