My Ping in TotalPing.com

Jom Layan link-link dibawah nie..

Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara.....

Undang-undang syariah dipengaruhi kolonial tidak tepat

KUALA LUMPUR 7 Jun - Undang-undang syariah negara tidak pernah dipengaruhi oleh elemen kolonial kerana ia terletak di bawah kuasa Raja-raja Melayu meskipun ketika negara di bawah penjajahan British. 

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz (gambar) berkata, British juga tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal Islam termasuk pelaksanaan undang-undang syariah serta proses pembuktian di mahkamah.   "Justeru, adalah tidak tepat untuk mengatakan undang-undang syariah negara kita mengikut acuan kolonial kerana kita sudah mempunyai mahkamah syariah sendiri sebelum kedatangan penjajah dengan Raja-raja Melayu sebagai hakim utama manakala mufti-mufti pula sebagai pembantu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.  Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa undang-undang syariah negara masih dipengaruhi elemen era kolonial iaitu mengikut undang-undang British.  Malah, kata Sham Rahayu, sekiranya benar Abdul Hadi beranggapan undang-undang syariah negara mengikut era kolonial, maka beliau sepatutnya bersetuju rakaman video seks boleh dijadikan sebagai salah satu dokumen keterangan di mahkamah. Ia juga, kata beliau, selari dengan pelaksanaan hukuman takzir bagi undang-undang syariah di negara ini yang tidak memerlukan empat saksi bagi kesalahan zina seperti di bawah hukuman hudud. "Sepatutnya Abdul Hadi tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat kerana ini melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam," kata beliau.  "Bagaimana jika selepas ini ada pesalah zina mempersoalkan hukuman ke atas mereka kerana ketiadaan empat saksi? Sudah semestinya jenayah zina akan berleluasa dalam masyarakat," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, undang-undang syariah negara tidak wajar diperlekehkan kerana ia digubal menerusi mesyuarat dan perbahasan pakar-pakar perundangan syariah negara.  Katanya, meskipun undang-undang syariah itu masih merujuk kepada model perundangan British, namun ia telah diberi nafas baru sesuai dengan perkembangan semasa.  "Kita tidak boleh menolak keseluruhan undang-undang itu semata-mata kerana ia dari penjajah. Sebaliknya kita perlu lihat dari aspek kesesuaian amalannya di negara ini yang mana jika undang-undang itu sesuai dengan hukum syarak, maka ia boleh digunakan dan begitulah sebaliknya," katanya. 

Sumber : Utusan Malaysia: 08/06/11

Apabila Para Pengampu Kerajaan Sekular Bersuara.....

Beginilah rosaknya pemikiran mereka yang digelar ‘pakar’ perundangan. Dengan penuh kejahilan, mereka begitu berani ‘menyamakan’ undang-undang ciptaan manusia sebagai undang-undang syariah. Lebih buruk lagi apabila para pengampu pemerintah sekular ini mengatakan bahawa undang-undang ini adalah undang-undang syariah negara yang tidak pernah dipengaruhi oleh elemen colonial sedangkan hakikatnya undang-undang syariah yang diterapkan di Malaysia ini adalah undang-undang yang disahkan dan dilahirkan dari rahim perlembagaan kufur Lord Reid.  Apakah kerana kecintaan mereka kepada dunia menyebabkan mereka begitu celupar dengan Allah SWT?

Undang-undang syariah Islam mencakupi persoalan hudud, jinayat, takzir dan mukhalafat di mana kesemua hukuman tersebut terbit dari al-Quran dan as-Sunnah. Kepada para pengampu kerajaan sekular ini kita ingin meminta mereka menunjukkan di manakah undang-undang yang dikatakan undang-undang syariah negara hari ini yang menjatuhkan hukuman potong tangan kepada kesalahan mencuri dan hukuman rejam dan sebat kepada kesalahan zina? Dan di mana undang-undang yang menghukum mereka yang mengambil riba? Hakikatnya,‘undang-undang syariah’ yang diterapkan di negara ini lahir dari keputusan akal manusia yang bersidang di parlimen, bukannya dari aqidah Islam yang mulia.

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya”
. [TMQ an-Nisaa’ (4) : 60].

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin “?

Sumber: http://mykhilafah.com/

Wahai Najib dan Para Bapa!

altaltSemua bapa diminta laksana transformasi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta golongan bapa supaya melakukan transformasi peranan masing-masing dalam membentuk sebuah keluarga bagi melahir generasi rakyat Malaysia yang terbaik pada masa depan.

Dalam coretan ringkasnya di lawan web sosial facebook.com, beliau berkata adalah diharapkan semua bapa dapat terus membina generasi negara pada masa depan dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan untuk menjadi ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih cemerlang.   “Hari ini, semakin ramai golongan bapa yang mengimbangkan peranan profesional dan keibubapaan mereka. Bagi saya sendiri, saya merasakan sudah melakukan yang terbaik untuk anak-anak saya.   “Kepada semua bapa, teruskan berusaha membina masa depan keluarga kita dan membekalkan mereka dengan segala kemahiran diperlukan dalam melahirkan ibu bapa dan rakyat Malaysia yang lebih gemilang pada masa depan,” katanya.
Terdahulu, Najib turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi najib@1malaysia.com.my kepada seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Bapa, dengan harapan supaya rakyat negara ini bersama-sama menyambut Hari Bapa bersama ayahanda masing-masing.

“Marilah kita menyambut Hari Bapa bersama ayahanda tersayang. Ikhlas dari Najib Razak dan keluarga,” menurut teks SMS berkenaan.

Sumber : Berita Harian, 19/06/2011

Wahai Najib dan Para Bapa! Selayaknya Coretan Fb Kamu Adalah: “Pelihara Diri Kamu dan Keluarga Kamu dari Api Neraka”.

Sewajarnya Najib mengingatkan dirinya dan juga kepada para bapa yang lain agar menjaga diri dan keluarga masing-masing dari api neraka dengan memastikan setiap pihak menunaikan kewajiban masing-masing terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Ini selaras dengan firman Allah SWT: “

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. [TMQ at-Tahriim (66) : 6].

Dengan suasana kehidupan yang didominasi oleh pemikiran sekular dan cara hidup kapitalisme, hasil dari pemerintahan sekular yang diterajui dan yang diteruskan oleh Najib dari pemerintahan yang sebelumnya, maka pada hari ini kita dapat melihat bagaimana terdapat ramai para bapa yang membiarkan dan mengambil mudah hal anak-anak mereka. Ini terutama yang berkaitan dengan persoalan halal dan haram. Para bapa yang menjadi ketua bagi sesebuah unit keluarga ini sering dilihat membiarkan anak-anak yang di bawah tanggungjawab mereka melanggar dan mengabaikan hukum syara’. Ketika ini kita dapat melihat bagaimana kehidupan golongan remaja yang begitu bebas tanpa batas dalam pergaulan sehari-harian mereka. Sebagai contoh, perkara yang paling ketara ialah bagaimana begitu ramai para bapa yang tidak memperdulikan keluarga mereka berhubung dengan persoalan hukum-hakam syara’. Lihatlah realiti masyarakat muslim hari ini dalam soal aurat dan pergaulan anak-anak remaja mereka. Apakah Najib peka dengan soal ini? Faktanya, budaya hidup Barat yang bersifat kebinatangan telah melatar belakangi kehidupan keluarga muslim hari ini. Keadaan ini berlaku akibat dari pengabaian yang dilakukan oleh ketua unit sesebuah keluarga (si bapa) dan keadaan ini diperparah lagi apabila negara sebagai sebuah institusi yang terpenting dalam pembentukan masyarakat telah membuang syariah di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Di sini sekali lagi Najib bertanggungjawab sepenuhnya. Lihat: Membentuk Sebuah Keluarga Islam: www.mykhilafah.com/fokus-muslimah/1216

Sumber dari: http://mykhilafah.com/

Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat

altaltPasangan Islam Perancis cabar larangan purdah
 
LONDON 10 Jun – Sepasang suami isteri beragama Islam yang tinggal di Britain mengemukan cabaran di Mahkamah Hak Asasi Eropah terhadap pengharaman pemakaian penutup muka (purdah) di Perancis, kata peguam pasangan itu hari ini.

Pasangan tersebut yang merupakan rakyat Perancis mengemukakan permohonan itu di mahkamah Strasbourg untuk mencabar kerajaan Perancis yang menguatkuasakan pengharaman pemakaian purdah, dengan pasangan itu menyifatkan pengharaman itu sebagai ‘tidak perlu, tidak adil dan menyalahi undang-undang’. Mereka mendakwa pengharaman itu menyekat hak mereka untuk bergerak bebas di Eropah, petik kenyataan yang dikemukan kepada pihak mahkamah. Isteri tersebut menuntut ganti rugi sebanyak AS$16,400 (RM50,000) kerana dituduh melanggar hak asasi manusia. Pasangan tersebut kini tinggal di England bersama dua anak mereka. - AFP

Sumber : Utusan Online, 10/06/2011
 
Kebebasan dan Hak Asasi – Mitos Peradaban Barat


Inilah salah satu daripada bukti hipokrasi dan double-standard Barat! Kononnya mereka menggelar diri mereka pejuang kebebasan dan hak asasi, namun ini cumalah dalam acuan mereka. Mana tidaknya, sekiranya umat Islam hendak “bebas” melaksanakan tuntutan Islam, pelbagai halangan diletakkan. Padahal dalam masa yang sama mereka membenarkan kewujudan parti-parti seks serta pantai bebas berbogel di Perancis atas alasan  kebebasan peribadi. Sudah acap kali kita mendengar tekanan yang dihadapi oleh umat Islam di negara kuffar Barat, namun setiap kali itu jugalah kita melihat sikap tidak peduli dan membisu serta kaku pemimpin umat Islam dari mempertahankan kehormatan umat Islam. Kes-kes seperti penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, perlecehan terhadap masjid, mencabar syariah Islam dan sebagainya akan berlalu begitu sahaja tanpa ada pembelaan dan penyelesaian yang tuntas daripada para penguasa umat Islam.

Dalam pada umat Islam ditekan oleh para pemerintah kuffar, yang lebih jelek adalah para pemimpin kaum muslimin sendiri turut melakukan tekanan ke atas umat Islam. Di seluruh dunia Islam peradaban serta undang-undang kufur dicedok dan diterapkan. Para pemerintah umat Islam tanpa segan silu menghalang aktiviti dakwah dalam mengembalikan Islam ke dalam kehidupan serta menghalang seruan agar umat bersatu di bawah panji-panji Islam. Hakikatnya, kes yang berlaku di Perancis sekarang cumalah satu bab sahaja daripada pelbagai masalah yang melanda  umat Islam. Semua ini adalah kesan daripada tidak diterapkannya Islam dalam kehidupan bernegara serta jauhnya umat dari pemikiran ideologi Islam. Akibatnya, maruah umat Islam menjadi murah dan nasib mereka bebas diperdagangkan oleh saudagar-saudagar imperialis Kapitalis. Para pemimpin kuffar hari ini begitu berani menyulitkan urusan umat Islam kerana mereka tahu bahawa umat Islam pada masa ini tiada pelindung dan tiada pembela. Yang ada cumalah boneka-boneka sekular yang akan menurut kehendak mereka dan bermatian-matian mempertahankan perlembagaan kufur di negeri masing-masing.

Ayuhlah wahai seluruh umat! Sama-samalah kita bergerak melakukan perubahan dengan mengembalikan kehidupan Islam dalam bernegara dan bermasyarakat. Semoga dengan ini kegemilangan serta kepimpinan dunia akan kembali ke tangan umat Islam!


Sumber dari: http://mykhilafah.com

@@ Followers @ @

Pembaca Berita PANAS!

Popular Posts